Cart 0

13 Cara Mengelakkan Bayi Muntah Selepas Menyusu


Adakah anda seorang ibu yang kerunsingan disebabkan bayi kerap muntah selepas menyusu badan atau botol?

Bayi sulung admin dulu kerap muntah. Bukan jeluak yang biasa-biasa tetapi memancut sehingga lebih satu meter ke depan jaraknya. Puas sudah keluar masuk klinik dan hospital untuk diagnose. Setelah hampir 2 tahun usianya barulah kami menemui jawapan. Gastroesophageal Reflux (GER). Penyakit ini disebabkan oleh otot injap bawah salur makanan esophagus yang lemah hingga menyebabkan susu dan makanan berpatah balik ke atas.

Namun begitu, ada beberapa cara mudah dan tips bagi mengurangkan insiden baby muntah yang boleh ibu-ibu usahakan dan amalkan:

1. 

Elakkan daripada menekan perut bayi terutama selepas bayi kenyang. Cuba pakaikan baju yang longgar pada bayi. Jika memakai barut, cuba longgarkan atau tanggalkan supaya lebih selesa.

2. 

Sesetengah bayi dapat dibantu dengan cara meninggikan kedudukan kepalanya di atas paras perut selepas menyusu. (Namun, kajian terkini menunjukkan kedudukan ini tidak banyak membantu mengurangkan muntah)

3. 

Mengiring atau meniarapkan semasa bayi masih terjaga. Hati-hati ya kerana posisi meniarap tidak digalakkan jika bayi tertidur. Ini boleh meningkatkan risiko kematian bayi secara mengejut ‘Sudden Infant Death Syndrome’ (SIDS).

4. 

Cuba menyusukan bayi dalam keadaan dia seperti menegak. Ia dipercayai boleh membantu mengurangkan risiko bayi tersedak. Namun, pastikan perut bayi bertemu perut anda. Anda boleh gunakan baby sling untuk mengampu bayi ketika meyusukan dalam posisi ini.

5. 

Kadangkala pancutan susu terlalu laju hingga menyebabkan bayi tersedak dan termuntah. Anda boleh membantu dengan menekan payudara secara pegangan gunting semasa menyusu bagi mengurangkan pancutan tersebut.

6. 

Kerap menyusukan bayi apabila tanda lapar seperti tercari-cari, gelisah atau menghisap jari dilakukan. Tidak perlu menunggu sehingga bayi menangis. Walaupun bayi menyusu hanya sekejap, pastikan dia mendapat susu akhir yang cukup.

7. 

Teknik yang boleh dicuba ialah memerah susu yang awal keluar dulu dan simpan untuk kegunaan masa lain dan susukan bayi dengan susu akhir yang tinggi kandungan lemak. Lebih kerap penyusuan, lebih tinggi kandungan lemak di dalam susu ibu.

8. 

Habiskan penyusuan di sebelah payudara terlebih dahulu sehingga bayi melepaskan puting dengan sendirinya. Kadang-kadang bayi yang telah kenyang masih mencari puting dan membuat gerakan mulut seperti menghisap walaupun telah tertidur. Elakkan menukar bayi ke payudara sebelah lagi terlalu cepat atau kerap terutamanya sewaktu bayi masih aktif menghisap. Perbuatan ini akan menyebabkan bayi mudah termuntah.

9. 

Pelekapan pada puting mesti betul bagi mengelakkan bayi banyak menelan angin yang boleh menjurus kepada masalah kembung.

10. 

Jika bayi muntah oleh kerana mengalami kembung perut, bantu dia sendawa dan belajar cara-cara untuk merawat kembung bayi daripada pakar. Cuba kenal pasti makanan yang diambil oleh ibu hingga memungkinkan masalah kembung seperti susu lembu dan kafein.

11. 

Habiskan penyusuan sehingga bayi benar-benar kenyang di sebelah payudara. Jika laktosa tinggi berbanding lemak, proses penapaian laktosa akan menghasilkan banyak gas dalam usus bayi yang akan menyebabkannya kembung. Jadi, kandungan lemak yang lebih daripada laktosa akan mengurangkan risiko kembung.

12. 

Amalan mengurut bayi dengan cara yang betul boleh mengurangkan risiko refluks dan kembung perut. Urutan bayi bukan sahaja dapat menenangkan bayi malah melancarkan sistem penghadaman dan menguatkan ototnya.

13. 

Bagi bayi yang cerewet, meragam atau menolak disusukan banyakkan sentuhan kulit ke kulit dan elakkan daripada memaksa. Boleh juga menyusu ketika anda berjalan dan membuai bayi di dalam kain kendongan (baby sling). Penggunaan ring sling boleh membantu bayi mengurangkan risiko muntah dan jeluak. Biasanya bayi akan cepat mengantuk ketika dibuai di dalam gendongan samada ring sling atau wrap. Ambillah kesempatan untuk menyusukan bayi yang sedang mengantuk itu.

Selamat mencuba!




Older post Newer post